Corak perjumpaan kumpulan 3/3
Kumpulan 3/3 (disebut sebagai “Tiga-Pertiga”) ialah kumpulan yang membahagikan masa kebersamaan mereka kepada 3 bahagian. Format ini memberi tumpuan kepada kesetiaan terhadap bimbingan Tuhan yang lalu, mendengar bersama-sama daripada Tuhan, dan merancang ketaatan dalam masa terdekat terhadap sebarang panduan yang diberikan oleh Tuhan.
Pola 3/3 ini boleh digunakan untuk gereja ringkas (atau gereja rumah), sel kepimpinan, atau kumpulan mentor rakan sebaya.
Begini cara ia berfungsi:
- Menoleh ke Belakang – Sepertiga pertama masa kumpulan diluangkan untuk melihat kembali apa yang telah berlaku sejak kali terakhir mereka bersama.
- Menoleh ke Atas – Sepertiga bahagian tengah masa kumpulan diluangkan untuk Menoleh ke Atas bagi mendapatkan hikmat dan arahan Tuhan melalui ayat suci, perbincangan, dan doa.
- Menoleh ke Hadapan – Sepertiga akhir masa kumpulan diluangkan untuk Menoleh ke Hadapan bagi melihat bagaimana setiap daripada mereka boleh mempraktikkan dan mentaati apa yang telah mereka pelajari.
Rangka Perjumpaan 3/3
MENOLEH KE BELAKANG [1/3 daripada masa anda]
Keprihatinan dan Doa: Luangkan masa untuk setiap orang berkongsi sesuatu yang mereka syukuri. Kemudian, setiap orang perlu berkongsi sesuatu yang mereka sedang gumuli (hadapi dengan sukar). Minta orang di sebelah kanan mereka mendoakan perkara yang dikongsi itu. Jika sesiapa mempunyai masalah yang memerlukan perhatian lebih, luangkan masa selepas perjumpaan untuk menjaga orang tersebut.
Visi: Luangkan masa menyanyi bersama dan kaitkan lirik lagu dengan tema mengasihi Tuhan, mengasihi sesama, berkongsi tentang Yesus dengan orang lain, memulakan kumpulan baharu, dan membantu orang lain melakukan perkara yang sama. Sebagai alternatif, ahli kumpulan boleh berkongsi petikan Alkitab yang menyampaikan tema-tema ini. Semakan: Minta setiap orang berkongsi perkembangan mereka berkenaan komitmen yang telah ditulis pada minggu sebelumnya:
- Bagaimanakah anda telah mentaati apa yang telah anda pelajari?
- Siapakah yang telah anda latih tentang apa yang telah anda pelajari?
- Dengan siapakah anda telah berkongsi cerita anda atau cerita Tuhan?
Jika mereka terlupa untuk melaksanakan komitmen atau tidak berpeluang melakukannya, komitmen minggu lepas perlu ditambah ke dalam komitmen minggu ini. Jika seseorang sengaja enggan mentaati sesuatu yang jelas mereka dengar daripada Tuhan, ia harus dikendalikan sebagai isu disiplin gereja.
MENOLEH KE ATAS [1/3 daripada masa anda]
Berdoa: Berbicaralah dengan Tuhan secara ringkas dan mudah. Mohon Tuhan mengajar anda melalui petikan ini.
Baca dan Bincang: Baca petikan minggu ini. Bincangkan soalan berikut:
- Apakah yang anda suka tentang petikan ini?
- Apakah yang anda rasa mencabar atau sukar difahami tentang petikan ini?
Baca semula petikan minggu ini.
- Apakah yang boleh kita pelajari tentang manusia daripada petikan ini?
- Apakah yang boleh kita pelajari tentang Tuhan daripada petikan ini?
MENOLEH KE HADAPAN [1/3 daripada masa anda]
Taat. Latih. Kongsi. : Luangkan sekurang-kurangnya lima minit dalam doa senyap. Minta setiap orang dalam kumpulan berdoa agar Roh Kudus menunjukkan cara menjawab soalan-soalan ini, kemudian buat komitmen. Setiap orang harus menulis komitmen tersebut supaya mereka boleh mendoakan satu sama lain dengan tepat dan saling bertanggungjawab (akauntabiliti).
- Bagaimanakah saya akan menerapkan dan mentaati petikan ini?
- Siapakah yang akan saya latih atau kongsikan tentang petikan ini?
- Dengan siapakah Tuhan mahu saya kongsikan cerita saya [kesaksian] dan/atau cerita Tuhan pada minggu ini?
Latihan: Dalam kumpulan berdua atau bertiga, berlatihlah apa yang telah anda komit untuk lakukan (soalan di atas). Contohnya, lakonkan perbualan yang sukar atau cara menghadapi godaan; berlatih mengajar petikan hari ini, atau berlatih berkongsi Injil.
Berbicara dengan Tuhan: Dalam kumpulan yang sama (berdua atau bertiga), doakan setiap ahli secara individu. Mohon Tuhan menyediakan hati orang yang bakal mendengar tentang Yesus minggu ini. Mohon kekuatan dan hikmat daripada-Nya agar anda setia kepada komitmen anda. Ini adalah penutup perjumpaan.
Tanya Diri Sendiri
- Adakah anda perasan sebarang perbezaan antara Kumpulan 3/3 dengan Pengajianh Alkitab atau Kumpulan Kecil yang pernah anda sertai (atau pernah dengar) sebelum ini? Jika ya, bagaimanakah perbezaan tersebut akan memberi kesan kepada kumpulan itu?
- Bolehkah Kumpulan 3/3 dianggap sebagai Gereja Ringkas? Mengapa atau mengapa tidak?
Mulakan Zúme Training hari ini
Ia sepenuhnya percuma, dan anda boleh bermula pada bila-bila masa—ikut rentak anda sendiri, di mana sahaja anda berada.
Daftar Secara Percuma